contoh alat muzik iringan |
http://www.malaysiaria.com.my/forum/topics/puisi-melayu-tradisional
Puisi Melayu Tradisional
Oleh: Qamarul Arifin Abdullah
Walau bagaimana maju sekalipun sesuatu
masyarakat, ia masih memerlukan maklumat daripada hasil-hasil
kesusasteraan lamanya. Hasil-hasil kesusasteraan itu merupakan dokumen
maklumat penting tentang tamadun masa lampau masyarakat. Pemikiran di
dalamnya disanjung dan dianggap sebagai pemberi pedoman kepada
masyarakat silam. Begitu juga dengan corak pemerintahan serta
nilai-nilai tinggi mesyarakat tersebut. Terdapat dua kategori puisi dalam bahasa Melayu, iaitu puisi terikat dan puisi bebas (lihat lampiran). Kelahiran puisi yang bersifat tempatan,
kemasukan pelbagai bentuk dan jenis puisi dari luar telah memperkaya
puisi Melayu hingga berjumlah lebih kurang 30 jenis puisi. Dalam
perkembangan puisi tradisional Melayu terdapat jenis-jenis seperti
pantun, syair, gurindam, seloka, pantun seloka, teromba, peribahasa
berangkap, talibun, mantera, nazam, rubai, qit’ah, masnawi, ghazal,
dikir@zikir, berzanji, teka-teki, endoi, rejang, hadrah, dabus,
perbilangan, perbilangan adat, kata-kata adat, terasul, tambo, jampi,
bait, marhaban, dan berzanji.
Pantun
Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa
pantun adalah satu-satunya puisi Melayu tradisional yang paling asli dan
lahir di rantau Alam Melayu. Banyak pendapat dikemukakan oleh
pengkaji-pengkaji tentang asal usul istilah pantun, antaranya oleh
Pijnappel, Hoessein Djajadiningrat, Zainal Abidin Ahmad(Za’ba),
Wilkinson, Winsteadt dan Van Ophuijsen. Menurut Harun Mat Piah (1989), dari segi
tema dan isi, pantun dapat dibahagikan keada tujuh iaitu pantun
kanak-kanak, pantun cinta dan kasih sayang, telatah dan cara hidup
masyarakat, pantun teka-teki, pantun puji-pujian atau sambutan, pantun
nasihat, agama dan adat, dan pantun naratif atau cerita. Pantun mempunyai unsur estetika alamiah
yang bersifat bertentangan, berpasangan, dan berangkapan. Sebab itu,
antara ciri-ciri pantun ialah berskema rima a/b /a/b yang terdiri daripada dua komponen, iaitu pembayang atau sampiran dan maksud. Setiap serangkap dapat menyelesaikan keseluruhan idea. Penjenisan pantun berdasarkan bentuk dan strukturnya yang tetap. Setiap
barisnya mempunyai antara lapan hingga sepuluh suku kata yang sesuai
dengan pernafasan normal, dan mempunyai antara empat hingga lima
perkataan. Setiap pantun mempunyai rangkap-rangkap yang berlainan.
Maksudnya berdiri sendiri (kecuali pantun berkait), dan setiap rangkap
membawa persoalan yang sempurna. Contohnya:
|
Oleh itu, istilah-istilah yang merujuk
kepada jenis-jenis pantun, seperti “pantun kanak-kanak”, “pantun
kasih-sayang”, “pantun budi” dan sebagainya bukanlah tergolong sebagai
jenis tetapi lebih jelas sebagai pengelasan tema yang boleh berubah-ubah
menurut tafsiran dan penumpuan pengkaji. Bagi setiap baris pantun ada
jeda di dalamnya. Pantun-pantun ini memiliki gaya bahasa dan lambang
yang sesuai dengan norma dan nilai masyarakat setempat. Terdapat juga
pantun-pantun yang pembayangnya mempunyai hubungan dengan maksudnya.
Pantun sebagai milik semua lapisan masyarakat, mampu membawa
berbagai-bagai tema, persoalan dan mesej. Contohnya:
Pantun Budi
Bunga Cina di atas batu,
Jatuh daunnya ke dalam ruang,
Adat dunia memang begitu,
Sebab emas budi terbuang.
Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbuah lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
Baik bergalas baik tidak,
Buli-buli bertali benang,
Baik berbalas baik tidak,
Asal budi sama dikenang.
Tanam lenggundi tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuk mati,
Budi tuan saya tak lupa,
Sudah terpahat di dalam hati.
Padi dan nanas tanam di tanjung,
Tempat pipit membuat sarang,
Budi dan emas sama dijunjung,
Hidup aman dikenang orang.
Sumber: Zainal Abidin Bakar (penye), 1991. pantun Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Gurindam
Walaupun ada pendapat yang mengatakan
bahawa istilah Gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit dan masuk ke
bahasa Melayu menerusi bahasa tamil, tetapi pengisiannya tidak menurut
puisi Sanskrit atau Tamil (Za’ba: 1965). Ia merupakan pinjaman dari segi
istilah saja. Gurindam merupakan sejenis puisi yang tidak
terikat atau tiada tentu bentuknya (sama ada terikat atau tidak).
Bentuk yang terikat biasanya terdiri daripada dua baris serangkap,
hampir sama dengan syair dua baris atau nazam. Bentuk yang tidak terikat
tergolong sebagai puisi bebas,sama ada berangkap atau tidak; jika
berangkap tidak tentu jumlah baris serangkap, jumlah perkataan sebaris;
dan mempunyai rima atau tidak. Puisi jenis gurindam dirujuk kepada
“Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji (lihat lampiran 3). Meskipun
terdapat unsur bebas dalam gurindam berkenaan, seperti tidak ditentukan
jumlah perkataan bagi setiap baris, tetapi unsur-unsur terikatnya lebih
banyak. Gurindam adalah puisi dua-dua baris, rima akhir bagi dua baris
adalah sama dan tiada had bagi jumlah keseluruhan barisnya. Dalam setiap
dua baris itu terdapat timbal antara baris pertama dan baris kedua.
Dalam gurindam juga kadang-kadang terdapat ciri puisi seperti asonansi,
aliterasi, dan gaya bahasa tertentu. Sesebuah gurindam sarat dengan tema
dan perutusan yang bersifat nasihat, keagamaan, dan pengajaran.
Contohnya:
Ini Gurindam Fasal yang Kesembilan
Tahu pekerjaan tak baik tetapi dikerjakan,
Bukannya manusia iaitulah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua,
Itulah iblis punya penggawa.
Kepala keada hamba-hamba raja,
Di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda,
Di situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan lelaki dengan perempuan,
Di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat,
Syaitan tak suka membuat sahabat.
Jika orang muda kuat berguru,
Dengan syaitan jadi berseteru.
Sumber: dipetik daripada Harun Aminurrashid, (penye.), 1990 dalam Kajian Puisi Melayu. Singaura: Pustaka Melayu.Syair
Walaupun berasal dari Arab-Parsi namun
syair Melayu tidak beracuan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana
puisi Arab-Parsi tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu
(Harun Mat Piah, 1989). Orang Melayu mula berkenalan dengan syair
sejak zaman awal bertapaknya Islam di alam Melayu melalui pengkajian
kitab yang terdapat bentuk syair seperti kitab Al-Luma’, Fusus al-Hikam,
Al-Insan al-Kamil yang dibawa oleh pengembang agama Islam ke Melaka.
Syair berbahasa Arab yang terawal ialah catatan batu nisan Sultan Malik
al-Saleh (1297 M) di Pasai. Selepas itu terdapat syair berbahasa Melayu
yang pertama di batu bersurat atau prasasti Minye Tujuh (1380 m). Dalam
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu terdapat penggunaan syair, sama ada
dalam bahasa Arab mahupun bahasa Melayu. Dalam perkembangan persuratan
Melayu selanjutnya, Hamzah Fansuri, seorang tokoh ulama dan pujangga
melayu merupakan individu yang telah menghasilkan syair dalam bentuk
yang lebih Melayu dengan cukup berkesan dan ilmiah temanya. Selepas itu,
syair terus berkembang pesat dengan bentuk yang lebih mantap dan tekal.
Semenjak itu, syair Melayu sudah menyimpang daripada bentuk syair Arab
yang menjadi tiruannya. Bentuk konvensional syair Melayu mengandungi empat baris serangkap dengan rima a/a/a/a. Bentuk inilah yang paling dominan dalam masyarakat Melayu walaupun terdapat juga variasi-variasi bentuk yang lain.
Menurut Harun Mat Piah (1989), syair dalam bahasa melayu mempunyai beberapa variasi yang bergantung kepada bentuk rimanya iaitu:
i. Dua baris serangkap dengan rima a/b, (memerlukan beberapa rangkap)ii. Tiga baris serangkap dengan rima a/a/b.
iii. Empat baris serangkap dengan rima a/a/a/a.
iv. Empat baris serangkap dengan rima a/b/a/b.
v. Empat baris serangkap dengan rima a/a/b/b.
vi. Empat baris serangkap dengan rima a/a/a/b, c/c/c/d, d/d/d/d dan seterus nya.
vii. Empat baris seirama (monorhyme).
viii. Empat baris berkait.
Menurut Harun Mat Piah(1983), variasi bentuk syair ini membuktikan bahawa syair tidak terhad kepada satu bentuk sahaja walaupun bentuk empat baris serangkap, dengan rima a/a/a/a lebih luas digunakan. Berdasarkan isi dan tema, syair Melayu mempunyai tujuh jenis tema yang berbentuk cerita(bukan naratif) iaitu syair romantis, syair panji, syair sejarah, syair keagamaan, dan syair kiasan. Manakala syair bukan cerita ialah syair agama, syair nasihat dan tema-tema lain yang berasingan. Contohnya:
Syair Kelebihan Ilmu: Ilmu Itu Bekalan Hidup
Berkata ilmu akulah sultan,
Kerajaan aku darat dan lautan,
Jahil berseru akulah syaitan,
Ikutlah aku merata hutan.
Ilmu itu gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didaati,
Sukar bercerai sehingga mati.
Harganya tidak dapat ternilaikan,
Sebuah dunia belinya bukan,
Kuasanya bersukat digunakan,
Di laut, di darat, di rimba dan pekan.
Jasa seorang ialah taulan,
Teman berbeka suluh berjalan,
Jasa berhimun ialah pengenalan,
Hiasan penyata polan si polan
Sumber: dituturkan oleh Haji Abd. Rahim Shafie, Langkawi, Kedah keada Wahyunah Haji Abd. Gani dan Mohamad Shaidan (peny.), 2000 dalam Puisi Melayu Lama Berunsur Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sumber: dituturkan oleh Haji Abd. Rahim Shafie, Langkawi, Kedah keada Wahyunah Haji Abd. Gani dan Mohamad Shaidan (peny.), 2000 dalam Puisi Melayu Lama Berunsur Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Endoi
Endoi berasal daripada kata “endul” yang
bermaksud buaian (Harun Mat Piah, 1989). Endoi merupakan tradisi lisan
berbentuk perbuatan yang disambut oleh masyarakat Melayu dalam majlis
keramaian seperti kenduri kahwin untuk memeriahkan suasana. Endoi
sebagai bentuk puisi tumpang menggunakan bentuk syair, nazam dan juga
antun sebagai wadah penyampaiannya. Antara persoalan yang disampaikan dalam
puisi endoi ialah menceritakan salasilah dan riwayat hidup Rasulullah
s.a.w. menceritakan kisah-kisah nabi, menyampaikan nasihat kepada
anak-anak agar berbuat baik, berbudi bahasa dan menghormati ibu bapa,
dan memperkatakan tentang pengajaran Islam seperti rukun islam, dan
kitab suci al-Quran.
Secara khususnya, endoi berfungsi untuk
menyatakan rasa kesyukuran ibu bapa atas kelahiran anak sulung yang
diadakan ketika upacara bercukur rambut anak yang berusia tujuh hari.
Selain itu, puisi ini juga bertujuan untuk memberikan panduan dan
pengajaran kepada masyarakat khalayaknya. Contohnya:
Ucapan Mencukur Rambut Budak Kecil
Bismillahirrahmaanirrahim
Lailahaillallah, Muhammadar Rasullullah
Bismillah itu permulaan nama,
Keadaan zatnya bersama-sama,
Zahirnya sifat menyatakan isma,
Kadim dan taat setia lama.
Hai segala nur-ul-khatam,
Dipecahnya empat nazirnya Adam,
Dipecahnya pula sekian alam.
Rahim bapamu turun ke ibumu,
Empat puluh hari nutfah namamu,
Delapan puluh hari alqah namamu,
Seratus dua puluh hari alamah namamu
Sumber: Dipetik daripada Majlis Peperiksaan
Malaysia (peny.) 1996 dalam Warna Sari Sastera Melayu Tradisional.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Fajar Bakti.Rejang
Rejang menumpang bentuk syair atau pantun
yang menggunakan nama hari atau hari bulan berdasarkan firasat, reaksi
dan kepercayaan tertentu. Hari atau hari bulan dikaitkan dengan
nama-nama binatang, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan. Istilah rejang mengikut Wilkinson, ada
kaitannya dengan ramalan bintang atau astrologi (Mohd. Yusof Md. Nor dan
Abd. Rahman Kaeh, 1985). Biasanya , masyarakat di Nusantara ini
mempunyai cara-cara yang tertentu untuk meramal hari-hari yang baik
dalam sebulan. Hal ini dapat dilihat dalam puisi rejang seperti Ketika Rejang yang dikatakan ada hubungan dengan hubungannya dengan ramalan waktu manakala Rejang Ketika dikaitkan pula dengan raksi (nasib baik atau buruk mengikut perkiraan waktu). Rejang menumpang bentuk syair atau pantun.
Oleh itu, genre ini hampir menyerupai bentuk pantun dan syair, Cuma
berbeda pada rima akhir yang tidak tetap, sedangkan pantun atau syair
memiliki rima yang tetap. Ciri-ciri rejang ialah rejang terdiri
daripada empat baris serangkap, dua baris pertama merupakan pembayang
dan dua baris berikutnya merupakan maksud. Bahkan kalau diteliti lebih
lanjut, rejang ini hampir sama dengan pantun berkait. Selain itu, dua
baris pertama tidak berhubungan langsung, tetapi ada pula yang
berhubungan seperti syair. Biasanya, pengisian dalam rejang membicarakan
hal-hal yang berhubungan dengan agama, nasihat, teladan dan pengajaran.
Contohnya:
Rejang Hari Bulan
Tujuh hari bulan rejangnya tikus,
Tikus jantan masuk penjara,
Kalau terkenang sifat yang bagus,
Hilanglah akal lenyap bicara.
Tikus jantan masuk penjara,
Penjara besar besi kursani,
Hilanglah akal lenyap bicara,
Dendam oi apa selaku ini.
Penjara besar besar besi kursani,
Perbuatan Maharaja Jaya Dewata,
Dendaru oi apa selaku ini,
Tidur berendam airnya mata.
Sumber: dipetik daripada Ampuan Hj. Brahim
bin Ampuan Hj. Tengah, 1999 dalam “Syair Rejang, Penyelenggaraan dan
Analisis Teks” Disertasi Ph.D. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.Nazam
Nazam berasal daripada istilah Arab nazam yang
bererti puisi. Sejenis puisi yang terikat. Bentuk puisi ini biasanya
digubah oleh ulama menurut kaedah dan pertimbangan puisi Arab. Temanya
selalu berhubung dengan keagamaan, pendidikan, dan keilmuan. Antara
ciri-ciri khasnya ialah terdiri daripada dua baris serangkap dengan
jumlah perkataan dan suku kata di dalam sebaris antara 10-12 suku kata. Yang kedua, skema rimanya ialah a/a, b/b, c/c, serima
(monorhyme) dan seterusnya. Isinya pula menyentuh tentang hal-hal
agama. Isinya tidak sempurna dalam dua baris; dan puisi bentuk nazam ini
boleh dibawa secara berlagu seperti nasyid dan qasidah. Tema dalam
puisi nazam selalunya berhubung dengan persoalan keagamaan, pendidikan,
dan keilmuan. Ada juga yang bertemakan nasihat, akhlak dan sebagainya.
Mesej yang terkandung dalam nazam
menggambarkan fungsinya yang tersendiri antaranya menyampaikan peristiwa
sejarah seperti hal-hal yang berkisar dengan perjalanan hidup atau
riwayat Nabi muhammad s.a.w, menyamaikan pengajaran agama seperti ilmu
tauhid, dan menyampaikan nesihat dan pendidikan.
Penyebaran dan fungsi nazam dalam kehidupan
masyarakat Melayu tidaklah seluas pantun dan syair. Pada umumnya nazam
digunakan dalam menyampaikan ajaran Islam yang meliputi perihal Nabi
Muhammad s.a.w., pelajaran tauhid, fikah, dan rukun iman. Bentuk nasyid
dan zikir menjadi wadah penyebaran nazam dan biasanya disamakan dalam
majlis-majlis keagamaan seperti sambutan awal Muharam, Maulidur Rasul,
khatam al-Quran, berendoi dan sebagainya. Contohnya:
Nazam Ajal
Oleh Hj. Ahmad Mufti
Kalau sungguh kamu yakin,
Jangan kamu lalai pada nafsu hati.
Benar tidak bila ada amal kamu,
Puas hati tidak sesalkan dirimu.
Ingat-ingat hai saudara masa itu,
Nyawa sampai batang leher baru tentu.
Kita ini akan matilah sudahnya,
Tidak tahu bila samaikan ajalnya.
Pahit mati itu bukan macam jadam,
Bukan pula macam api boleh padam.
Oleh itu mari kita sama-sama,
Buat amal jangan leka jangan lena.
Pada Tuhan kita datanglah asalnya,
Pada Tuhan kita kembalilah sudahnya.
Sumber: dipetik daripada Md. Ali Bachik (Iladam), 1989. himpunan Puisi Klasik. Shah Alam: Marwilis Publisher.Dikir/Zikir
Menurut Harun Mat Diah (1989), dikir berasal
daripada perkataan Arab, zikir yang bermakna puji-pujian terhadap Allah
s.w.t. dan rasul-Nya Nabi Muhammad s.a.w. Dalam perkembangan puisi
Melayu tradisional, puisi dikir/zikir bermakna puisi puji-pujian.
Dikir/zikir juga merupakan puisi yang mengandungi isi tentang
unsur-unsur agama, sama ada tentang ibadat, puji-pujian, pengajaran atau
tentang Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran-ajarannya. Dari segi bentuk, dikir/zikir merupakan
puisi bebas. Jumlah baris dalam serangkap, jumlah perkataan dan suku
kata dalam sebaris, tidak tentu. Begitu juga rangkapnya; mungkin
mempunyai atau tidak mempunyai rangkap. Dikir/zikir biasanya terdiri
daripada ungkapan-ungkapan sejajar yang puitis, dan tidak terikat kepada
bentuk yang tertentu. Kadang-kadang dikir/zikir mengambil bentuk-bentuk
puisi yang lain seperti pantun, syair, mantera dan nazam. Puisi ini dinamakan dikir kerana setiap
ungkapan atau kata-kata maksud atau isi puisi yang dipaparkan
diselang-selikan dengan kata-kata atau ungkapan puji-pujian terhadap
Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. Pada permulaan puisi, ungkapan
puji-pujian (zikir) terhadap Allah s.w.t. dan puji-pujian terhadap Nabi
Muhammad s.a.w. (selawat) disusun sehingga membentuk satu rangkap yang
tersendiri. Rangkap ini diulang-ulang sehingga adakalanya beberapa
rangkap sebelum rangkap isi.
Dikir/zikir tergolong dalam kesusasteraan
rakyat kerana penyebarannya dilakukan secara lisan. Berdasarkan isinya,
dikir/zikir berfungsi sebagai alat pendidikan atau didaktik iaitu
mengingati khalayaknya tentang perkara-perkara yang baik dan yang perlu
diikuti, serta menjauhi perkara-perkara yang buruk atau dilarang sama
ada dari aspek agama (Islam) atau nilai masyarakat. Selain itu, dikir/zikir juga sebagai ejen
penyebaran dan pemantapan nilai-nilai positif dan akhlak yang baik keada
masyarakat khalayaknya, di samping sebagai pengawal nilai sosial dalam
masyarakat seperti nilai kerjasama, hormat-menghormati, bertolak ansur
dan sebagainya. Dikir/zikir dituturkan dalam upacara yang
tertentu, seperti dalam tarian dabus, permainan kompang/hadrah, dan
upacara sambutan maulidur Rasul. Dikir/zikir yang diucapkan atau yang
dinyanyikan dalam upacara maulidur Rasul biasanya mengandungi unsur
dakwah, dan isinya penuh dengan puji-pujian dan kemuliaan terhadap Nabi
Muhammad s.a.w. selain itu dikir/zikir sebagai alat hiburan di
majlis-majlis sosial seperti majlis sambutan pembesar, majlis
perkahwinan dan sebagainya. Akhir sekali, dikir/zikir sebagai gambaran
masyarakat terutama dalam aspek kebahasaan dan nilai-nilai estetika.
Contohnya:
Dikir Dabus
Allah hee Allah huu ya Allah,
Baddal hee ya maula,
Allah hee Allah huu ya Allah,
Hudal le ma ti habur sere ya Allah.
Allah humma salli Allah,
Allah he salli dona Allah,
Allah Muhammadun sahu ya Allah,
Hee Allah Allah wabiza aalihi.
Pada kasih penghulu kita Muhammad,
Cahaya bulan empat belas petunjuk yang sempurna,
Hati rindu kepada Nabi Muhammad,
Sentiasalah didapat daripada yang sempurna.
Allah hee Allah huu ya Allah,
Baddal hee ya maula,
Allah hee Allah huu ya Allah,
Hudal le ma ti habur sere ya Allah.
Sumber: didokumentasikan oleh Ahmad Ali Salikin, 1996. Lumut, Perak.Rubai
Rubai berasal daripada sastera Parsi dan
merupakan puisi tertua dalam bahasa tersebut. Apabila Parsi menerima
Islam, puisi tersebut menjadi sebahagian daripada puisi warisan Islam.
Tokoh yang identik dengan rubai ialah Omar Khayyam (1132). Puisi rubai
diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh Edward Fitzgerald (1809-1883)
dan ini menjadikan rubai Omar Khayyam begitu terkenal. Rubai dalam
bahasa Melayu pertama kali diperkenal oleh Bukhari al-Jauhari dalam teksTaj al-Salatin.
Rubai karya Omar Khayyam pula telah diterjemah ke bahasa Melayu oleh
tokoh bahasa dari Johor iaitu Mejar Dato’ Muhammad Said bin Haji
sulaiman (1868-1955) berdasarkan versi Inggeris yang diterjemah oleh
Edward Fitzgerald. Dalam Kamus Umum Indonesia, rubai dikatakan
sebagai puisi Arab empat baris. Ada sarjana mengatakan rubai berbentuk
sajak yang terdiri daripada empat baris (a/a/a/a) yang selalunya bertujuan falsafah atau tasawuf serta membentuk epigram. Daripada segi cirinya, pola rimaa/a/b/a atau a/a/a/a;
jumlah barisnya terdiri daripada empat baris serangkap; menakala suku
katanya ialah antara lapan hingga dua belas suku kata. Isinya dalam satu
rangkap, dan temanya membawa persoalan yang bersifat falsafah, agama,
nasihat dan sejarah. Dalam puisi Melayu tradisional, pengisian
dalam rubai selalunya bertemakan falsafah, persoalan tasawuf, agama,
nasihat, dan sejarah. Puisi rubai bertujuan untuk panduan pendidikan.
Contohnya:
Kemuliaan Insan
Peri permulaan keadaan insan,
Itulah ingatkan dirimu yang berirfan,
Supaya mengetahui perinya ini,
Dengan takdir lagi dengan ihsan.
Masnawi
Masnawi identik dengan penyair terkenal
Parsi, Jalaluddin al-Rumi (1207-1273 M), terutama dalam karya agungnya
Mathnawi Ma’nawi. Sebagai puisi yang bersumberkan puisi Arab-Parsi,
masnawi tidak popular dalam kalangan masyarakat Melayu, dan Oleh sebab
itu, genre ini tidak berkembang. Masnawi dalam bahasa Melayu diperkenalkan
oleh Bukhari al-Jauhari menerusi karangannya Tajus Salatin. Puisi ini
berbentuk bebas dari aspek baris, perkataan dan suku kata dalam sebaris.
Walaupun begitu, terdapat pengawalan pada rima akhirnya seperti a/a, b/b, c/c, dan seterusnya. Genre puisi ini bertemakan puji-pujian tentang kehandalan, kekuatan, kepandaian, dan kemayhuran seseorang tokoh. Secara keseluruhannya, masnawi berfungsi sebagai panduan, pengajaran, dan nasihat kepada khalayaknya. Contohnya:
Budi
Dengarlah olehmu, hai yang budiman,
Budi itulah sungguh pohon ahsan,
Kerana ahsan itu puri budilah,
Jika lain maka lain jadilah,
Orang yang berbudi itu kayalah,
Yang bukan berbudi itu papalah,
Jikalau kau dapat harta alam ini,
Dan budi kurang padamu di sini,
Bahawa ke sini jua namamu,
Dan segala ke sini pun adamu,
Jika kamu mahu menjadi kaya,
Mintalah budi bagimu cahayai,
Hai Tuhanku, Bukhari yang biasa,
Minta selamat budi sentiasa,
Sudah taju’ssalatin fi’lawhir,
Dan Bukhari dengan taju itu fakir,
Seribu syukur keada Tuhannya.
Sumber: Khalid M. Hussain(penye.), 1996. Karangan Bukhari al-Jauhari, Tajus Salatin, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Ghazal
Ghazal bermaksud puisi bersifat cinta.
Puisi yang berasal dari Parsi ini merupakan sejenis nyanyian dalam
kalangan orang muda yang dalam percintaan. Sajak puisi ini terdapat pada
kata yang di belakang. Bagaimanapun, secara umumnya puisi ini berpolarimakan a/a, yang diulang-ulang. Perulangan juga secara a b, b c, c d dan
seterusnya; baris-barisnya terdiri dariada ayat yang panjang-panjang.
Perkataannya tidak disukat banyaknya, dan terdiri dariada 20 hingga 22
suku kata. Panjangnya dalam lingkungan belasan baris. Pada bahagian
akhir, pengubahnya menyelitkan namanya sebagai peleraian (takhallus).
Tema ghazal berkaitan dengan persoalan cinta, sama ada cinta sesama
manusia ataupun cinta manusia terhadap Tuhan.
Pada umumnya, puisi ghazal berperanan sebagai alat komunikasi yang menyatakan cinta dan kasih sayang.
Berzanji
Pada dasarnya, berzanji boleh didapati dalam bentuk iaitu berzanji nathar (bentuk
prosa berirama) dan bentuk puisi. Sebagai puisi tumpang, berzanji
menggunakan bentuk nazam dan syair yang dilagukan. Rima akhir sesuatu
rangkap atau rawi dalam bacaan berzanji ini adalah a/a/a/a,
sama ada dalam ejaan asalnya (jawi) mahupun dalam terjemahan bahasa
Melayu. Berzanji bertemakan keagungan Allah dan puji-pujian terhadap
Nabi Muhammad s.a.w. Berzanji biasanya dilagukan untuk
majlis-majlis seperti sambutan mauludur Rasul, majlis perkahwinan
(ucapan untuk pasangan pengantin), majlis bercukur rambut dan majlis
khatam al-Quran.
Qit’ah
Qit’ah mula diperkenalkan dalam bahasa Melayu melalui Tajus Salatin.
Qit’ah bererti potongan, keratan atau sebahagian. Justeru, bentuknya
ringkas; minimum dua baris dan tidak sampai sepuluh baris. Sungguhpun
begitu, terdapat juga qit’ah yang ditulis dalam keadaan terkawal, yakni
empat baris dalam satu rangkap.
Puisi qit’ah ini diletakkan dalam kategori
sajak yang separuh terikat. Cirinya hampir seperti syair dari segi pola
rimanya, namun kadang-kadang ada kelainan rima pada baris yang tertentu.
Jumlah perkataan dalam satu-satu baris pula tidak ditentukan dan
kadang-kadang tidak seimbang, iaitu ada yang panjang dan ada yang
pendek. Tema qit’ah bersifat pemikiran dan renungan
yang selalu membawa mesej yang bersifat luhur dan berfikiran tinggi
(falsafah). Sungguhpun begitu, makna qit’ah sukar ditafsirkan kerana
qit’ah menggunakan banyak perkataan Arab secara langsung, dan tidak
menterjemahkannya. Hal ini menyebabkan banyak orang tidak dapat memahami
qit’ah lalu menyebabkan puisi itu kurang digemari. Fungsi qit’ah ialah
untuk memberikan nasihat dan pengajaran, khususnya tentang pemikiran
dalam agama.
Ehwal Insan
Jika kulihat dalam tanah itu pada ehwal segala yang insan,
Tiadalah dapat kubezakan,
Pada antara hamba dan sultan,
Fana juga segala yang ada,
Dengarkan olehmu Kulluman ‘alaihi fan.
Seloka
Dari segi istilah, seloka berasal
daripada perkataan Sanskrit, seloka iaitu sejenis puisi yang terdiri
daripada yang terdiri daripada dua baris atau dua kerat, yang setiap
satunya mengandungi 16 suku kata, yang disusun dalam empat unit. Dalam
kesusasteraan Melayu tradisional, seloka merupakan sejenis puisi bebas
dari segi rangkap (sama ada berangkap atau tidak berangkap). Jika
berangkap, tidak tentu barisnya dalam serangkap dan tidak tentu jumlah
perkataan dalam sebaris. Seloka juga boleh jadi mempunyai rima atau
tidak. Seloka biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk
melengkapkan keseluruhan idea (Harun Mat Piah, 1989). Dari segi bentuk, seloka sama sahaja
seperti puisi bebas yang lain seperti gurindam, talibun atau teromba.
Walaupun begitu, jika dilihat aspek isi, puisi ini berbeza antara satu
sama lain. Dari segi isi, seloka biasanya mengutarakan isinya secara
mengejek, sindiran atau dalam nada jenaka, dan kadang-kadang mengandungi
nada atau perasaan yang asyik dan berkhayal. Oleh sebab seloka biasanya digunakan untuk
menyindir atau berkias, tidaklah menghairankan mengapa seloka
mengandungi banyak peribahasa yang selalunya disusun dengan cara yang
senada atau mempunyai irama, sehingga kadang-kadang seloka sama dengan
peribahasa berirama.
Dalam hal ini, pengenal kepada peribahasa
berirama ialah nada yang dibawa olehnya. Peribahasa berirama tidak
mengandungi nada-nada ejekan atau sindiran yang sinis tetapi seloka
mengandungi ejekan dan nada-nada sinis; menyindir terhadap sesuatu
kelakuan sesetengah anggota masyarakat melalui peribahasa yang disusun
secara sejajar untuk menghasilkan irama tersebut. Secara keseluruhan,
seuntai seloka merujuk keada cerita jenaka yang benar-benar dikenali
dalam masyarakat seperti cerita Pak Kaduk, cerita Pak Pandir, cerita
Labai Malang dan cerita Emak Si Randang. Seloka tersebut bertujuan untuk
menyindir masyarakat yang berperangai seperti watak-watak tersebut. Seloka biasanya mengandungi bahasa yang
penceritaannya meleret-leret dan lanjut, sindir giatnya selalu tajam dan
bisa seperti mengejek, menyindir dan menempelak, dan mengandungi
perasaan yang hiba dan rawan. Fungsi seloka amat terbatas. Secara
umumnya, seloka dapat menggambarkan masyarakat yang melahirkannya iaitu
masyarakat yang amat mementingkan keharmonian dan ketatasusilaan.
Bersesuaian dengan sifat halus orang Melayu, puisi seloka digunakan
untuk mengkritik sebarang perlakuan negatif anggota masyarakat tanpa
menyinggung perasaan individu sasaran. Puisi seloka tidak digunakan
secara meluas sebagaimana peribahasa atau teromba. Fungsinya amat
bergantung kepada isinya iaitu untuk menyindir, mengejek, menempelak
seseorang, melahirkan rasa benci terhadap sesuatu kelakuan manusia,
memberi pengajaran dan panduan kepada seseorang dan sebagai alat kawalan
sosial atau protes sosial.
Teromba
Teromba merupakan susunan adat yang
disampaikan dalam bentuk puisi. Puisi ini dikenali juga sebagai puisi
adat. Teromba dikatakan berasal daripada masyarakat Melayu Minangkabau.
Isinya mengandungi adat dan peraturan serta norma-norma hidup mesyarakat
khususnya tentang undang-undang adat yang diamalkan dalam kehiduan
sosial masyarakat yang melahirkan dan mengamalkannya. Berdasarkan struktur visualnya, teromba
tergolong sebagai puisi tidak terikat kepada perbilangan adat atau kata
perbilangan. Teromba ini ada yang berangkap dan ada yang tidak. Jumlah
perkataan dan suku katanya dalam sebaris tidak tentu. Demikian juga rima
dan jedanya, juga tidak tentu. Teromba kadangkala menggunakan juga
puisi Melayu tradisional yang lain seperti pantun, syair, rubai,
talibun, dan ungkapan tradisional (peribahasa berangkap).
Secara ringkas teromba berfungsi memberi
panduan dan pendidikan tentang cara hidup atau sistem hidup
bermasyarakat yang baik dan harmoni melalui adat, peraturan dan
undang-undang dibentuk, membentuk dan membina satu masyarakat yang
harmoni, mengekal norma yang tertentu di dalam masyarakat yang telah
dipersetujui oleh anggota masyarakat sejak turun-temurun. Selain itu
teromba berfungsi sebagai alat kawalan sosial terutamanya dengan adanya
adat, peraturan dan undang-undang tentang apa yang boleh dan tidak boleh
dilakukan dalam hidup bermasyarakat, menggambarkan corak dan pola hidup
bermasyarakat pada satu-satu masa dan zaman, menggambarkan corak
pemikiran masyarakat yang mengamalkannya, kerana pembentukan teromba
jelas berdasarkan kebijaksanaan dan pemikiran yang dalam dan tinggi
tentang falsafah hidup masyarakatnya.
Talibun
Harun Mat Piah (1989), Ismail Hamid (1987)
mendefinisikan talibun sebagai puisi berangkap tentang perincian sesuatu
objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara
(cerita kaba) dalam kalangan masyarakat Minangkabau. Mohd. Taib Osman (1979) mula menamakan
talibun ini sebagai “ikatan puisi bebas”. Puisi ini menurut beliau
merupakan puisi yang memakai kata-kata yang menimbulkan gambaran mata
kerana kata-kata yang digunakan dapat menimbulkan pemikiran dan
pendengaran tentang imej yang lantang dan bermakna. Baris-barisnya
memberikan dua macam gambaran, iaitu gambaran bunyi seolah-olah kita
mendengarnya, dan gambaran objek-objek dalam situasinya masing-masing.
Kedua-dua gambaran ini berlatarbelakangkan alam Melayu.
Terdapat pelbagai tema talibun yang
terungkap dalam cerita-cerita lipur lara Melayu yang didasarkan kepada
fungsi puisi tersebut di dalam karya atau cerita tersebut iaitu
memerikan kebesaran, kehebatan dan keagungan sesuatu tempat seperti ibu
kota dan bandar, memerikan keadaan dan kesibukan atau keajaiban sesuatu
peristiwa dan suasana, memerikan kehebatan dan kecantikan sesuatu objek
seperti pakaian, manusia, sikap dan kelakuan manusia. Selain tema, talibun juga boleh dikenal
melalui penggunaan bahasa berulang yang menjadi lumrah dalam
pembentukannya. Teknik pengulangan ini bukan sahaja wujud dalam
penggunaan gaya bahasa tetapi pengulangan seluruh puisi tersebut.
Wilkinsin menamakan puisi tersebut sebagairuns, yang merujuk
kepada konsep pengulangan ini. Pengulangan ini ditambah pula dengan
bentuk-bentuk pemerian yang lain sehingga terdapat pelbagai variasi
dalam bentuk seperti engulangan di bahagian permulaan tetapi di bahagian
akhir telah ditambah dengan ungkapan puisi yang lain.
Menurut Ismail Hamid (1987) pengulangan ini
terjadi kerana talibun sangat mementingkan bahasa yang berirama yang
menjadi kegemaran masyarakat terutamanya dalam kalangan masyarakat
Minangkabau. Bahasa yang berirama ini digunakan secara meluas seperti
berpidato atau semasa bergurau senda.
Fungsi utama dan khusus talibun ialah untuk
memerikan secara terperinci tentang sesuatu gambaran seperti suasana,
benda dan sifat manusia dalam bentuk yang ringkas, teliti dan
menyeluruh. Umumnya, talibun merupakan gambaran pemikiran masyarakat
khalayak yang mementingkan perincian tentang sesuatu, tetapi disusun dan
dibentuk dengan keindahan terutamanya dalam penggunaan gaya bahasa.
Peribahasa Berangkap
Peribahasa atau ungkapan tradisional yang
mempunyai subgenre seperti bidalan, pepatah, perbilangan, perumpamaan,
lidah pendeta, kias ibarat, dan tamsil tidak tergolong dalam genre puisi
kerana strukturnya bukan merupakan ungkapan atau kata-kata yang
berangkap. Namun, dalam pustaka puisi Melayu tradisional terdapat
sejumlah besar peribahasa yang wujud dalam bentuk puisi. Oleh itu, Za’ba
(1966), Mohd. Taib Osman (1979) menamakan puisi ini sebagai peribahasa
berangkap atau peribahasa berirama. Menurut Harun Mat Piah (1989), peribahasa
berangkap ialah ungkapan peribahasa yang terdiri sekurang-kurangnya dua
keratan yang sejajar, baik dalam sebaris atau lebih. Kemungkinan
baris-baris itu tidak berhubungan dari segi rima tetapi terjalin dalam
hubungan yang seimbang, iaitu sebagai pembanding atau pelengkap kepada
yang lain.
Seperti puisi-puisi Melayu yang lain,
peribahasa berangkap juga boleh dikenal pasti berdasarkan ciri-ciri yang
terdapat ada aspek struktur, tema, isi, dan fungsinya. Asas pembentukan peribahasa berangkap ialah
peribahasa. Seperti bahasa lisan yang lain, peribahasa berangkap
berfungsi sebagai alat komunikasi, sama ada secara formal (digunakan
dalam adat istiadat tertentu) atau tidak formal (terutamanya untuk
menyindir, menegur atau mengkritik seseorang) dan sebagai alat
pendidikan atau didaktik. Selain itu ia berfungsi sebagai “pembebas
tanggungjawab perseorangan terhadap suatu kekuasaan” (Alan Dundes,
1989). Maksud daripada kata-kata ini ialah jika mengkritik (terutamanya
menunjukkan kesalahan atau mencela) seseorang dengan menggunakan
peribahasa, individu sasaran akan lebih mudah menerima daripada dikritik
atau dicela secara langsung.Oleh: Qamarul Arifin Abdullah. Fungsi yang seterusnya ialah sebagai alat
kawalan sosial dan pemantapan sesuatu sistem sosial dalam masyarakatnya.
Selain itu sebagai media yang mempamerkan kebijaksanaan penutur atau
pewarisnya (juga melambangkan kebijaksanaan masyarakat khalayaknya).
Pewarisnya yang terhad menyebabkan mereka dianggap sebagai golongan yang
eksklusif dan istimewa. Semakin banyak mereka mewarisi puisi ini
semakin tinggi sanjungan masyarakat khalayaknya dan dapat menggambarkan
ketinggian status seseorang dalam masyarakatnya. Peribahasa berangkap
terhadap dalam teromba. Teromba hanya dimiliki oleh indivividu yang
memegang kunci adat seperti ketua adat atau ketua lembaga. Oleh itu
penguasaan uisi ini sekali gus dapat menunjukkan ketinggian status
seseorang dalam masyarakatnya.
Mantera
Mantera dikenali sebagai jampi, tawar,
sembur, cuca, uja, seru, dan tangkal. Genre ini merupakan antara puisi
Melayu tradisional yang popular di kalangan masyarakat Melayu selain
pantun dan syair, walaupun penggunaannya lebih eksklusif, kerana mentera
hanya dipunyai dan dituturkan oleh orang tertentu sahaja seperti pawang
dan bomoh. Apabila dituturkan, mantera dipercayai dapat menimbulkan
kuasa ghaib atau konotasi magis untuk tujuan perubatan seperti untuk
menyembuhkan penyakit (Harun Mat Piah, 1989).
Dari segi bentuk, mantera merupakan jenis
puisi bebas yang tidak terikat sama ada dari segi rangkap, baris, dan
jumlah perkataan dalam sebaris atau urutan rimanya. Dari segi penggunaan
bahasanya, mantera digubah bahasa khusus dan sukar difahami oleh
kebanyakan orang. Malahan, pawang atau bomoh sendiri pun, jika ditanya
makna bahasa tersebut tidak dapat menerangkannya. Oleh itu, mantera
sangat terbatas penggunaannya. Mantera juga tidak boleh dituturkan
sewenang-wenangnya tanpa bersebab kerana bahasa mantera dianggap keramat
dan tabu. Mantera biasanya dicipta oleh pawang atau
bomoh yang kemudiannya diturunkan kepada orang yang dipercayai dan orang
yang akan menggantikan mereka dalam bidang perpawangan atau perbomohan.
Pawang atau bomoh ini merupakan orang perantaraan antara manusia dan
kuasa ghaib yang dipercayai dapat memberikan kesan kepada kehidupan
masyarakat.
Mantera juga merupakan puisi yang diwarisi
daripada zaman purba yang sangat bergantung hidup dengan unsur-unsur
alam. Tetapi jika berdasarkan perkembangan tamadun sekarang, mantera
mungkin tidak lagi dicipta; tidak seperti pantun dan syair yang masih
terus dicipta dan digunakan dengan meluas. Walaupun mantera telah
tercipta sejak zaman bahari lagi, namun dengan kedatangan Islam,
pengaruh Islam telah diserapkan ke dalam bentuk mantera dengan menambah
nama-nama atau istilah-istilah yang ada kaitannya dengan Islam. Mantera dapat dibahagikan keada empat jenis
berdasarkan tujuan mantera tersebut diucapkan iaitu perubatan, pakaian
diri, pekerjaan dan adat istiadat. Isi mantera biasanya mengandungi kata-kata
puji-pujian yang mengandungi irama dan nada yang tertentu. Tujuan
mantera ialah untuk menyembuhkan penyakit dan menghalau makhluk halus
yang dipercayai mendiami sesuatu tempat atau yang mengganggu kehidupan
seseorang dan masyarakat. Mantera juga dijadikan pemanis, pengasih dan
pembenci. Terdapat juga penggunaan mantera dalam upacara-upacara seperti
adat dan istiadat.
Mantera tidak boleh digunakan secara
sembarangan, secara umumnya, mantera masih lagi menepati fungsi puisi
iaitu sebagai alat pendidikan, alat pemantapan sesuatu sistem, nilai,
dan norma masyarakat khalayaknya, gambaran sistem projeksi masyarakat
termasuklah aspek keindahan dan alat pengesahan sesuatu institusi
masyarakatnya. Mantera untuk perubatan berfungsi untuk
menyembuhkan penyakit, mantera pendinding berfungsi untuk melindungi
khalayaknya daripada sebarang unsur jahat atau berfungsi untuk memberi
keluarbiasaan dan keistimewaan kepada pengamal dan khalayaknya, mantera
pekerjaan digunakan dalam pekerjaan supaya setiap usaha yang dilakukan
dapat menghasilkan sesuatu yang lumayan, dan mentera adat istiadat pula
digunakan dalam upaca-upacara adat dan istiadat. Perwarisan mantera
haruslah melalui upacara-upacara yang tertentu sesuai dengan genre
mantera itu sendiri sebagai puisi yang bercorak sakral dan penuh dengan
pantang larang.
Teka-teki
Berbeza dengan puisi-puisi yang lain,
teka-teki merupakan puisi lisan yang popular. teka-teki dalam sastera
tradisional terbahagi kepada dua bentuk utama iaitu prosa dan puisi.
teka-teki yang tergolong dalam bentuk puisi mungkin ditemui dalam bentuk
syair dan antun atau dalam ungkapan-ungkapan puitis yang lebih bebas
seperti talibun, sesomba atau gurindam. Sejenis puisi yang tidak terikat; terdiri
daripada sebaris atau beberapa baris yang berturutan, sama ada berangkap
atau tidak. Jika berangkap, tidak tentu jumlah baris serangkap, jumlah
perkataan sebaris, mempunyai rima atau tidak. Tiap-tiap baris atau
serangkap dapat menyatakan satu keseluruhan idea. Secara umumnya, teka-teki berfungsi sebagai
bahan hiburan dan pengisi masa lapang bersama keluarga atau sahabat
handai. Kadang-kala teka-teki membawa nada jenaka, ada juga yang menguji
kecerdikan dan akal fikiran, malahan dapat meningkatkan daya kreativiti
kanak-kanak juga orang dewasa.
Sesuai dengan fungsinya, teka-teki membawa
pelbagai tema. Bagaimanapun, penumpuan lebih kepada benda-benda yang
paling hampir dengan kehidupan manusia sehari-hari dan alam sekeliling.
Pencita teka-teki adalah seorang pemerhati yang peka dan seniman yang
aktif. Dua buah antologi teka-teki yang terkenal ialah Teka-Teki yang diselenggara oleh O.T. Dessek(1918)dan Kitab Gemala Hikmat oleh Sulaiman bin Muhammad, Nur oleh Munsyi Sulaiman(1907) danTeka-Teki Warisan oleh Inon Shaharuddin Abdul Rahman(1988).
1 comments:
Cadangan : Boleh masukkan contoh syair, nazam, gurindam dan lain-lain dalam format video dan audio. Nampak lebih molek.
Post a Comment